PANCING@BACARIA

Friday, March 28, 2008

Kelab Pancing Di Karangkraf!!!


Lama juga perancangan untuk menubuhkan kelab di Kumpulan Karangkraf S/B dan syarikat bersekutunya dibuat... Maklumlah, masing-masing sibuk dengan keja dan ada pula terpaksa bekerja shif..
Atas inisiatif baru-baru ini, kami mampu mengumpulkan seramai hampir 50 orang yang mahu menyertai kelab. Kemungkinan angka ini akan bertambah apabila ia mula disebarkan secara rasminya nanti.
Antara tujuan kelab ini pastinya untuk merapatkan lagi rakan2 yang sememang kaki pancing atau yang baru berjinak2 dengan aktiviti ini.
Selain itu juga, kami mengharapkan agar dapat merangka satu pelan perancangan dan aktiviti memancing bersama di masa akan datang. Harapan agar aktiviti ini dikongsi bersama bukan setakat rakan di Karangkraf, tetapi juga ahli keluarga dan rakan2 pancing lain yang berminat.

Gambar terbaik bulan Mac - BACARIA


Pemenang pertama
Nama: Muhammad Khairul Anuar Saleh
Lokasi: Sungai Kerian
Umpan: Roti
Jenis ikan: Patin
Berat : 26 kilogram

Pemenang kedua
Nama: Muhd Humaizee Bin Misman
Lokasi: Sungai Muar, Johor
Umpan: Anak udang
Jenis Ikan: Udang galah
Berat: 150 gram

Pemenang ketiga
Nama: Mohd Firdaus Ibrahim
Lokasi: Sungai Langkap
Umpan: Ulat kelapa sawit
Jenis: Sebarau
Berat: 800 gram

Tahniah kerana terpilih dan memenangi hadiah daripada Coleman

Monday, March 17, 2008

Selongkar lubuk bujuk


Oleh : Sarjana Arshad (Janakuasa)

SETELAH sekian lama memendam hajat untuk memancing ikan bujuk, barulah kami berjaya menemui satu lubuk yang sebelum ini menjadi sebutan di kalangan pemancing spesies itu di sekitar Utara tanah air.
Ikan bujuk tergolong dalam spesies ikan air tawar yang sukar didapati pada masa sekarang. Di tubuhnya, terserlah corak batik mencantikkan lagi spesies ini dan boleh sahaja dibela di dalam akuarium. Selain cantik, rasa ikan ini dikatakan lebih enak berbanding ikan haruan.
Kaedah untuk memancing bujuk ini lebih mirip dengan kaedah memancing ikan haruan kerana kedua-duanya mempunyai sifat dan habitatnya yang sama. Memancing haruan tidaklah sesukar mana tetapi memburu bujuk menjadi satu pengalaman yang cukup berharga.


Trip kami ini dimeriahkan oleh Man Captiva, Pak Ngah Roster dan Adik Joe. Kami turut ditemankan dengan seorang sahabat yang mahu dikenali dengan panggilan Pak Ngah Roster. Pak Ngah sememangnya amat kami perlukan kerana dia dianggap pakar dalam mengenal pasti lubuk-lubuk yang berpotensi untuk diduga.
Apabila berada jauh di lapangan pancing, bekalan umpan yang diperlukan seharusnya mencukupi. Justeru, sebanyak 100 ekor katak minyak kami kumpulkan untuk dijadikan umpan meliurkan buat bujuk nanti.
Perjalanan menuju ke lubuk yang terletak di Buntar Estet memakan masa lebih kurang 20 minit dari pekan Serdang, Kedah. Suasana estet yang dingin menghijau dan sejuk mata memandang menjadikan perjalanan tidak menjemukan. Namun debaran dan perasaan teruja untuk menduga bujuk seperti tidak tertahan.

Kami bernasib kerana cuaca panas kebelakangan ini menyebabkan paras air di beberapa parit di ladang sawit yang menjadi persembunyian bujuk dan haruan surut. Keadaan itu merupakan satu kelebihan seterusnya memudahkan kami untuk memancingnya.
Malah reba-reba pelepah kelapa sawit yang terendam di dalam air adalah lokasi yang amat sesuai untuk dihulurkan umpan. Potensi ikan bujuk untuk dipancing amat tinggi sehingga hasil keseluruhan sebanyak 60 ekor spesies itu berjaya diperolehi sepanjang hari memancing dan ikan haruan hanya seekor sahaja.
Memang tak disangka kami, ladang sawit ini menyimpan satu lubuk yang luar biasa hebatnya. Bagi memelihara ikan bujuk ini dari pupus, kami hanya mengambil ikan bersaiz besar.
Manakala yang bersaiz kecil dilepaskan kembali. Malahan ada ikan bujuk ini yang asalnya mahu dibawa balik, kami lepaskan semula di kawasan lain agar ia dapat membiak lebih luas kawasannya.