PANCING@BACARIA

Wednesday, April 30, 2008

Gambar Terbaik April - BACARIA


Pemenang pertama
Nama: Nik Zamani Bin Wan Omar
Lokasi: Jeti Perikanan Tok Bali, Kelantan
Umpan: Ikan belanak
Jenis ikan: Siakap
Berat : 3.1 kilogram

Pemenang kedua
Nama: Mohd Fisol Hussin
Lokasi: Pulau Langkawi
Umpan: Gewang
Jenis: Gerepoh
Berat: 1.8 kilogram

Pemenang ketiga
Nama: Zulkifli Bin Ahmad
Lokasi: Sungai Semenyih (loji air Jenderam Hilir)
Umpan: Dedak
Jenis Ikan: Lee koh
Berat: 8 kilogram

Friday, April 18, 2008

‘Kandang’ si janggut ceriakan ekspedisi


SOTONG...sotong...sotong. Biasanya musim sotong hadir dari Mac hingga Julai. Namun dalam trip memancing yang diatur di luar waktu itu, kami disajikan dengan kumpulan sotong yang menjadi satu lubuk berpasir di antara kumpulan batu karang sebagai sarang untuk ia bertelur.
‘Kandang sotong’, itulah nama glamor yang sering meniti di bibir para nelayan di Kuala Pahang bagi lubuk yang dikesan tempat sarang sotong bertelur. Biasanya sotong yang biasa terdapat di perairan negeri ini ialah sotong jarum, torak, mengabang dan sotong katak.
Mengikuti kumpulan pemancing Volvo Angler’s Team (VAT) yang terdiri daripada Radzi, Mat Aris, Pok Ya, Epul, Ayie dan Zali, memberi peluang kepada penulis merasai sendiri mencandat sotong. Bukanlah tidak pernah berpeluang mencandat sebelum ini, tetapi peluang itu tidak diendahkan kerana berfikiran, bertarung dengan sotong tidaklah sehebat memancing ikan.

Sangkaan itu nyata meleset kerana mencandat sotong memang begitu menyeronokkan apabila pulang dengan laba yang banyak. Tambahan pula apabila tekong melabuhkan botnya betul-betul di ‘kandang’nya. Saat itu tiada pemancing yang tidak dapat merasai keseronokan mencandat sotong itu.
Biasanya, mencandat sotong dikaitkan pada malam bulan mengambang penuh kerana sotong dikatakan akan bermain di permukaan air untuk mendapatkan cahaya. Namun tidak semua pemancing turun ke laut ketika itu kerana saat itu, sotong akan bergerak bebas disebabkan pancaran bulan yang mengambang penuh itu.
Biasanya, waktu paling efektif adalah di waktu bulan gelap. Untuk itu, bot biasanya dilengkapi dengan peralatan canggih termasuk lampu limpah (spotlight) yang dipasang pada bot untuk kegunaan menyuluh atau menerangi kawasan mencandat sotong. Dengan limpahan cahaya itu, kumpulan sotong lebih tertumpu dan ini memudahkan pemancing menjeratnya.

Namun begitu, sotong yang dicandat pada bulan mengambang biasanya lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap. Ini kerana saiz badan sotong yang mengembang di bulan mengambang akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh.
Alat candat adalah kail yang paling efektif digunakan untuk menjerat si janggut itu. Ia biasanya mempunyai sehingga sepuluh mata tanpa duri bagi mencengkam janggutnya. Kini mata kail itu dihiasi umpan tiruan anak ikan dan udang plastik berkilat, berbanding alat candat tradisional yang dikenali sebagai `twist'.
Dalam mencandat sotong, mata kail yang diikat pada tali tangsi akan dihulur dihulur turun dan naik ke dalam air yang disuluh lampu kalimantang. Sotong yang tertarik dengan pergerakan mata kail dan disangka makanan pasti akan menyambarnya. Ketika itu, pengail terus menyentap tali dan sotong akan terlekat pada mata kail berkenaan.
Walaupun mata kail tiada duri, namun pergerakan sotong yang melawan arah sukar untuk melepaskan diri. Bagai seseorang pemancing yang mahir, mereka akan memasang empat atau lima candat pada satu tali. Cara ini dinamakan rawai dan mampu menarik kumpulan sotong datang menghampirinya.

Perairan Kuala Pahang juga tidak terkecuali menjadi lubuk sotong walaupun pada musimnya, perairan di sebelah Terengganu lebih menjadi tumpuan pemancing. Di perairan ini, mencandat sotong juga galak dilakukan pada sebelah petang dan pagi.
Walaupun trip asal bukanlah untuk mencari sotong, namun apabila diberitahu adanya ‘kandang’ sotong, kami semua tidak mahu melepaskan peluang menambah koleksi hasil tangkapan. Dalam waktu yang singkat, tong ikan yang dibawa berjaya dipenuhkan.
Pesta sotong semakin suram menjelang tengah malam. Lampu limpah yang dipasang hanya dapat menarik perhatian sotong buat seketika. Jumlah yang dinaikkan juga semakin kurang menyebabkan kami menamatkan operasi mencandat sotong dan beralih ke karang berdekatan untuk mencuba nasib memancing ikan pula.

Pengalaman itu memberi gambaran jelas kenapa pemancing yang gemarkan si janggut tidak sabar-sabar menanti musimnya. Mereka seolah-olah menagih aksi si janggut sehingga tidak senang duduk diam sambil menunggu masa sesuai untuk ke lubuknya.
Keseronokan dan kepuasan yang dicari itulah yang diinginkan. Melihat si janggut tidak habis-habis menerpa candat yang diunjuk ke laut memberi kenangan indah yang sukar dilupakan.

Thursday, April 3, 2008

Pancing layang alternatif menghiburkan!


PANCING layang banyak dipraktikkan di benua Eropah dan Amerika itu pada awalnya hanya digunakan untuk memerangkap ikan air tawar. Dengan pelbagai pendekatan dan percubaan, ianya terbukti praktikal untuk digunakan di lautan luas. Pastinya ikan-ikan gamefish yang bermain di permukaan air menjadi sasarannya.
Rekod terbaik dalam pancing layang di laut dibuat oleh Thomas Evans Jr.Wilson dan Wyoming pada 25 Februari 2002 yang berjaya menewaskan seekor marlin seberat 104.7 klogram. Kejayaan itu menunjukkan bahawa pancing layang yang asalnya dianggap sukan untuk memancing kelas ikan pertengahan ke bawah sebenarnya sudah memasuki ke acara gamefish.

Biasanya pancing layang ini yang menggunakan umpan tiruan berbentuk serangga itu memerlukan kawasan yang lapang bertujuan untuk memudahkan balingan. Namun kebanyakan struktur muka bumi di Malaysia tidak memungkinkan kaedah ini digunakan.
Tetapi apabila pemancing bijak memanipulasikan sesuatu kawasan dan mahir dengan kaedah itu, ia sebenarnya bukanlah faktor penghalang yang utama.
Bagi memancing di air tawar, kawasan tasik atau lombong tinggal dengan persekitaran yang lapang merupakan medan untuk peminat pancing layang ini menunjukkan bakat.
Biasanya ikan yang dikenal pasti kerap menyambar umpan berbentuk serangga itu adalah ikan peacock bass, toman, haruan, bujuk dan pelbagai spesies lagi.
Manakala jika berpeluang, gunalah kaedah ini di sungai-sungai beraliran deras dan semestinya pemangsa seperti ikan tengas, sebarau dan kelah terliur dengan sajian umpan yang dipersembahkan.
Antara faktor yang menjadikan umpan ringan itu menarik perhatian pemangsa, arus air di laut mahupun sungai memainkan peranan yang besar. Lagipun, pemangsa lebih aktif mencari umpan dalam keadaan air berarus. Dengan bantuan itu, umpan tiruan yang kaku mampu menjadi lebih ‘hidup’ dengan adanya faktor arus itu.

Sekiranya memancing di kawasan lombong dan sungai yang alirannya agak lembap, peranan pemancing menggayakan persembahan umpan sangat penting. Umpama bermain ‘popping’ atau mengunjun, usaha pemancing menunjukkan umpan seolah-olah bermain atau tercedera di permukaan air sangat penting.
Apabila pemangsa menyambar umpan, pertarungan akan menjadi menarik kerana set pancing layang tidak menekankan aspek tegangan atau drag. Di situ pemancing memerlukan kemahiran bertarung terutamanya dalam menewaskan ikan bersaiz besar. Disebabkan itulah kebanyakan joran pancing layang agak lembut bagi mengurangkan tekanan asakan mangsa.
Walaupun kaedah memancing mungkin nampak agak berbeza, namun cara persembahan umpan masih sama. Pengayaan yang sempurna mampu menjadikan hobi memancing menjadi lebih menarik dengan kepelbagaian memerangkap spesies ikan gamefish.

Dari segi sejarahnya, pancing layang ini digunakan secara meluas sejak kurun ketiga di Macedonia. Ia dapat dilihat melalui catatan oleh Dame Juliana Berner di dalam bukunya bertajuk Treatyse Of Complete Angler Fishing With An Angle. Kemudiannya Pertubuhan North American Fly Fishing memperkenalkan kaedah itu di Amerika dan menjadikan ia semakin popular di negara tersebut.
Sementara itu, kaedah ni telah dibawa kegunaan untuk memancing di laut di pertengahan abad ke-19. Ia dapat diketahui pada catatan James Henshall yang menghasilkan buku Camping And Cruising In Florida. Ia memberi lembaran dan pendedahan baru kepada peminat pancing layang bahawa kaedah ini sebenarnya boleh digunakan di lautan luas yang pemangsanya lebih besar dan ganas.