PANCING@BACARIA

Thursday, April 3, 2008

Pancing layang alternatif menghiburkan!


PANCING layang banyak dipraktikkan di benua Eropah dan Amerika itu pada awalnya hanya digunakan untuk memerangkap ikan air tawar. Dengan pelbagai pendekatan dan percubaan, ianya terbukti praktikal untuk digunakan di lautan luas. Pastinya ikan-ikan gamefish yang bermain di permukaan air menjadi sasarannya.
Rekod terbaik dalam pancing layang di laut dibuat oleh Thomas Evans Jr.Wilson dan Wyoming pada 25 Februari 2002 yang berjaya menewaskan seekor marlin seberat 104.7 klogram. Kejayaan itu menunjukkan bahawa pancing layang yang asalnya dianggap sukan untuk memancing kelas ikan pertengahan ke bawah sebenarnya sudah memasuki ke acara gamefish.

Biasanya pancing layang ini yang menggunakan umpan tiruan berbentuk serangga itu memerlukan kawasan yang lapang bertujuan untuk memudahkan balingan. Namun kebanyakan struktur muka bumi di Malaysia tidak memungkinkan kaedah ini digunakan.
Tetapi apabila pemancing bijak memanipulasikan sesuatu kawasan dan mahir dengan kaedah itu, ia sebenarnya bukanlah faktor penghalang yang utama.
Bagi memancing di air tawar, kawasan tasik atau lombong tinggal dengan persekitaran yang lapang merupakan medan untuk peminat pancing layang ini menunjukkan bakat.
Biasanya ikan yang dikenal pasti kerap menyambar umpan berbentuk serangga itu adalah ikan peacock bass, toman, haruan, bujuk dan pelbagai spesies lagi.
Manakala jika berpeluang, gunalah kaedah ini di sungai-sungai beraliran deras dan semestinya pemangsa seperti ikan tengas, sebarau dan kelah terliur dengan sajian umpan yang dipersembahkan.
Antara faktor yang menjadikan umpan ringan itu menarik perhatian pemangsa, arus air di laut mahupun sungai memainkan peranan yang besar. Lagipun, pemangsa lebih aktif mencari umpan dalam keadaan air berarus. Dengan bantuan itu, umpan tiruan yang kaku mampu menjadi lebih ‘hidup’ dengan adanya faktor arus itu.

Sekiranya memancing di kawasan lombong dan sungai yang alirannya agak lembap, peranan pemancing menggayakan persembahan umpan sangat penting. Umpama bermain ‘popping’ atau mengunjun, usaha pemancing menunjukkan umpan seolah-olah bermain atau tercedera di permukaan air sangat penting.
Apabila pemangsa menyambar umpan, pertarungan akan menjadi menarik kerana set pancing layang tidak menekankan aspek tegangan atau drag. Di situ pemancing memerlukan kemahiran bertarung terutamanya dalam menewaskan ikan bersaiz besar. Disebabkan itulah kebanyakan joran pancing layang agak lembut bagi mengurangkan tekanan asakan mangsa.
Walaupun kaedah memancing mungkin nampak agak berbeza, namun cara persembahan umpan masih sama. Pengayaan yang sempurna mampu menjadikan hobi memancing menjadi lebih menarik dengan kepelbagaian memerangkap spesies ikan gamefish.

Dari segi sejarahnya, pancing layang ini digunakan secara meluas sejak kurun ketiga di Macedonia. Ia dapat dilihat melalui catatan oleh Dame Juliana Berner di dalam bukunya bertajuk Treatyse Of Complete Angler Fishing With An Angle. Kemudiannya Pertubuhan North American Fly Fishing memperkenalkan kaedah itu di Amerika dan menjadikan ia semakin popular di negara tersebut.
Sementara itu, kaedah ni telah dibawa kegunaan untuk memancing di laut di pertengahan abad ke-19. Ia dapat diketahui pada catatan James Henshall yang menghasilkan buku Camping And Cruising In Florida. Ia memberi lembaran dan pendedahan baru kepada peminat pancing layang bahawa kaedah ini sebenarnya boleh digunakan di lautan luas yang pemangsanya lebih besar dan ganas.

1 Comments:

At September 18, 2008 at 8:44 PM , Anonymous Anonymous said...

Memang best dan terima kasih sbb memperkenalkan teknik ni kepada semua.. All the best..

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home