PANCING@BACARIA

Wednesday, December 26, 2007

PENGALAMAN MEMANCINGKU

Oleh: MOHD ABBAS SALIMI

Jejak Raja Sungai Jeram Rotan

Ajakan dari seorang teman kaki pancing untuk memburu si Raja Sungai, pertengahan Julai lalu membuatkan aku ghairah untuk mengikutinya. Setelah persediaan untuk berkhemah satu malam di lokasi berkenaan dilakukan, kami pun segera bertolak ke kawasan yang dimaksudkan.

Perjalanan darat dari perkampungan Gugusan Felda Lepar Utara, Jerantut Pahang mengambil masa hampir lima jam menggunakan pacuan empat roda melalui jalan balak akhirnya berjaya menemukan kami dengan kelah yang bermaharajalela di kawasan lubuk Jeram Rotan di Hulu Sungai Kuala Berakit.

Mujurlah perjalanan kami kali ini banyak dibantu oleh saudara Paeh dan adiknya Mamat yang agak mahir tentang selok belok jalan balak berkenaan. Ini kerana mereka beberapa kali pernah sampai di kawasan berkenaan pada pada tahun lalu.

Kata Mamat, Jeram Rotan masih boleh tahan penghuninya. Malah masih banyak kelah bersaiz 3 kg ke atas mendiaminya. Dipendekkan cerita akhirnya aku tiba di kawasan yang dimaksudkan. Memang benar kawasan tersebut masih kekal terpelihara flora dan faunanya.

Keadaan sungai juga menunjukkan ia masih terpelihara dan masih dipayungi oleh pohon-pohon rendang. Mungkin juga ia jarang dikunjungi. Setibanya di kawasan berkenaan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan khemah tidak jauh dari sungai.

Lewat petang itu, selesai makan secara ringkas dan mendirikan khemah, aku berserta rakan beserta rakan yang lain, Mat Dedek, Mamat, Paeh, Peejai, Pie, Ejal, Din mencuba memancing cara dasar, tetapi hanya sebarau dan kerai kunyit 500 gram saja yang sudi menjamah umpan cengkerik yang kami gunakan.

Sebelum malam menjelang, Paeh yang aku anggap ‘otai’ dalam hal ini, mencadangkan kami menukar umpan iaitu menggunakan umpan sawit. Lantas beberapa biji kelapa sawit yang pecah ditabur di dalam lubuk yang tidak berapa jauh dari khemah kami.

Tindakan ini bertujuan untuk memujuk kelah agar berkumpul dihadapan dan juga di sebuah lubuk besar tidak jauh khemah kami. Perasaan tidak sabar menunggu untuk menguji di sebelah pagi esok begitu membuak-buak.

Kami sebenarnya bukan tidak mahu memancing pada malam itu, tetapi hujan yang turun merintik membantutkan hasrat untuk kami melabuhkan pancing. Tambahan pula badan penat setelah mengharungi tempoh perjalanan yang lama.

Ahli rombongan mengambil kata sepakat untuk berehat sahaja malam ini dan menumpukan perhatian keesokan harinya. Selain itu kami memikirkan pula kawasan sekeliling yang agak sunyi dan banyak tapak binatang buas, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membincangkan strategi esok hari serta bercerita pengalaman masing-masing, sehingga ada yang tidak sedar seorang demi seorang terlelap setelah kekenyangan menjamu selera sebarau dan kerai kunyit yang kami perolehi siang tadi selain ikan sardin yang kami bawa.

Seawal pagi 6.45 pagi, masing-masing bangkit dari lamunan mimpi. Semuanya ingin menguji kepakaran masing-masing. Sarapan pagi cara ‘orang bujang’ yang disediakan oleh Mat Dedek dan Din kami nikmati sebelum memulakan agenda pertarungan.

Masing-masing ingin menguji kepakaran untuk menewaskan di Raja Sungai ini. seperti yang dirancang pada malam semalam juga, jika kami tidak dapat hasil yang kurang memberangsangkan, lubuk yang lain pula kami akan cari.

Sebagaimana dirancang, kami semua menggunakan umpan yang disarankan iaitu hirisan kelapa sawit yang masak. Sebaik sahaja masing-masing mengambil tempat, kami pun melontarkan mata kail. Seperti yang dijangka, kelah memang tak dapat lari dari umpan yang kami hidangkan. Apa tidaknya batang joran Ryobi Chaser milik Mamat hampir-hampir jatuh ke dalam air apabila ia ditarik rakus.

Setelah berhempas pulas memainkan ikan berkenaan, akhirnya kelah seberat 3.8 kg berjaya beliau naikkan. Menyusul kemudian, kekili Paeh berbunyi dengan agak nyaring. Apa tidaknya kali ini dia terpaksa bertegang otot menahan asakan. Namun belum sempat menaikkan, kelah berkenaan menggelupur kuat lalu lucut dari cangkukan mata kail. Paeh hanya mampu tergamam lalu mengeluh.

Di sudut bawah lubuk lain pula, Mat Dedek yang baru sahaja bergelar bapa menjadi hero apabila berjaya menaikkan dua kelah serta dua ekor kenerak yang bersaiz sederhana kecil. Setelah menduga sehingga jam 12 tengahari, kami rasakan ikan sudah tidak berminat dengan umpan yang kami labuhkan.

Kami kemudiannya beralih tempat dengan bergerak ke satu lubuk tidak jauh dari lubuk pertama. Kali ini tidak sia-sia kerana berapa ekor lagi menjadi rezeki kami.

Kali ini penulis, cuba menggunakan kaedah mengilat, beberapa ekor kelah dari celah reba kayu yang tenggelam kelihatan mengekor rapat sesudu yang digunakan. Tanpa menunggu lama, sesudu jenis Seahwak Island rakus disambar. Menggigil tangan dibuatnya apabila berjaya menaikkan kelah seberat 3.5 kg.

Seekor lagi kelah yang bersaiz hampir sama dengan penulis berjaya dinaikkan oleh Paeh yang sememangnya arif dalam bab berhadapan dengan si raja sungai ini. Namun tidak kurang juga anggota ekspedisi lain tumpas apabila kelah bersaiz besar berjaya memutuskan tali pancing apabila ia berjaya menyusup pantas ke celah-celah reba kayu.

Jam 3 petang kami semua berehat buat seketika, setelah mandi, solat dan menikmati makan tengahari yang ringkas, kami semua meneruskan lagi aktiviti memancing dengan meninjau ke lokasi yang agak jauh hulu sedikit dari Lubuk Rotan yang kami duga pada sebelah pagi tadi.

Namun di lokasi baru ini, nampaknya kurang mendatangkan hasil sekadar lampan sungai serta kerai selebar tapak tangan sahaja yang berjaya kami naikkan. Menjelang lewat petang, kami semua berjaya memperoleh 12 ekor kelah berbagai saiz, lima ekor kenerak, 20 ekor sebarau dan lapan ekor kerai kunyit. Mamat menjadi hero keseluruhan apabila dia berjaya menewaskan si raja sungai yang paling besar iaitu 4.5 kg.

Apa yang menariknya ini adalah kali pertama beliau berjaya menaikkan kelah seberat itu sepanjang hidupnya. Kami semua turut mengambil gambar kenang-kenangan sebagai bukti trip memancing kali ini membuahkan hasil.

Pada sebelah malamnya sebaik saja solat Isyak, kami makan malam dengan hidangan ‘hotel lima bintang’ yang disediakan oleh Paeh dan Mamat dengan penuh selera. Apatah lagi ikan terbesar hasil tangkapan mamat ini kami panggang untuk dicecah pula dengan kicap serta cili padi dan juga air asam.

Manakala ikan lain kami masak singgang dengan ramuannya telah pun siap dibawa dari rumah. Tanpa kami sedari, masing-masing menambah dua atau tiga pinggan seorang.

Menjelang keesokan harinya, kami sudah pun berangkat pulang. Biarpun trip kali ini hanya dua hari satu malam, namun kami seakan puas dan akan berkunjung pada masa akan datang.

Sepanjang perjalanan pulang kami sekali lagi berkesempatan melihat beberapa batang sungai yang cantik dan sesuai untuk kami kunjungi di masa akan datang. Sesungguhnya

Tuesday, December 25, 2007

HARUAN PENYEMBUH PELBAGAI PENYAKIT



Ikan haruan (ophiocehalus striatus ) biasa hidup di air tawar seperti di sungai, paya dan sawah tetapi ia juga boleh hidup dalam air payau. Keistimewaan ikan ini ialah pada ketahan diri dan khasiatnya dalam bidang perubatan.
Ikan haruan dapat hidup di dalam selut sehingga berbulan-bulan kerana ia mempunyai anggota penyedut udara. Ia sangat mujarab bagi menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk luka, kulit bersisik, ruam dan lecur. Kajian mendapati haruan berpotensi menyembuhkan masalah luka dengan kadar tiga kali lebih cepat berbanding ubat tradisional lain, manakala pati haruan juga berfaedah bagi tujuan kecantikan wanita.

TILAPIA ADA 450 SPESIES



Ikan Tilapia tergolong dalam keluarga cichlidae yang mempunyai 450 spesies. Ikan Tilapia adalah ikan air tawar yang banyak terdapat di negara-negara ASEAN, khususnya di Malaysia. Antaranya adalah

Tilapia Hitam (Oreochromis mossambicus).
Tilapia Merah (Oreochromis niloticus)
Tilapia biru (Oreochromis aureus)

Alam: Haiwan

Filum: Kordata

Subfilum: Vertebrat

Kelas: Osteichthyes

Order: Perciformes

Famili: Cichlidae

IKAN KELI



Ikan Keli adalah ikan air tawar yang banyak terdapat di negara-negara ASEAN, khususnya di Malaysia. Di sesetengah tempat khususnya di Selangor, ikan keli disebut sebagai "ikan semilang". Bagi orang Perak, ikan semilang hanya hidup di laut.

Ikan keli boleh didapati di kebanyakan sawah padi, contohnya di Pahang, di Paya Pahang Tua, Mambang, Ganchong dan Paloh Hinai, Pekan. Ia juga banyak terdapat di Tasik Chini, Paya Bungor atau Bera. Keli juga menghuni di kuala anak sungai kecil seperti Sungai Lepar di Paloh Hinai hingga ke Jerantut dan Kuala Lipis, selain di Sungai Bera dan Sungai Serting.

TOMAN TASIK KUANTAN

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK), mempunyai banyak kolam dan tasik dalam kawasan pengurusannya yang mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar yang bersaiz L dan XL.Baru-baru ini pihak pengurusan MPK menguji penghuni beberapa tasik terutama kawasan larangan untuk mengetahui spesies yang mendiami kolam dan tasik berkenaan.Tidak diduga terdapat banyak spesies yang menjadi buruan pemancing seperti toman bunga, rogu, lampan dan baung. Bagaimanapun pihak majlis itu tidak bercadang untuk membukannya kepada orang awam.